Sunday, 25 September 2011

Mengapa sukar menguasai Bahasa Inggeris?




Saya pernah bertanya kepada seorang teman yang mahir membuat pengaturcaraan dalam bidang perisian komputer. Saya bertanyakan kepadanya, berapa lama telah dihabiskan masanya untuk mempelajari bahasa-bahasa pengaturcaraan tersebut. Teman saya itu membalas menyatakan bahawa dia sudah berlatih membuat program-program tersebut semenjak lapan (8) tahun yang lalu. Katanya, pada peringkat permulaan, dia begitu sukar bagi memahami kod-kod pengaturcaraan tersebut. Lama-kelamaan, hasil usaha yang berterusan, dia sudah mampu mengingati hampir keseluruhan arahan-arahan kod pengaturcaraan tersebut tanpa perlu merujuknya di dalam program-program editor ataupun buku-buku rujukan. Semuanya sudah berada di dalam kepala. Malangnya, teman saya tadi tidak begitu fasih di dalam Bahasa Inggeris. Lalu dia bertanyakan kepada saya bagaimanakah caranya untuk dia meningkatkan penguasaan Bahasa Inggerisnya. Maka saya katakan padanya bahawa, dia perlu berlatih untuk menguasai Bahasa Inggeris sebagaimana yang telah dia usaha untuk memahirkan dirinya dalam program-program pengaturcaraan yang telah diperolehinya.

Para pembaca sekalian, untuk memahirkan diri kita dengan sesuatu, semestinya kita perlu melatih diri kita dengannya secara berterusan. Semakin banyak kesilapan yang dibuat, semakin kaya kita dengan pengalaman yang diperolehi, semakin mahir bagi kita untuk menguasainya.

Tiada orang di dalam dunia ini yang semakin mempelajari sesuatu menjadi semakin bodoh. Bahkan di dalam permainan video atau games sekalipun, apabila kita sudah melakukan kesilapan, kita akan mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan yang sama dalam siri permainan yang seterusnya. Demikian juga dengan mempelajari Bahasa Inggeris. 

Saya secara peribadi berpendapat bahawa pendedahan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah dan menengah belum cukup bagi memantapkan penguasaan berbahasa Inggeris bagi kebanyakkan kita biarpun mempelajarinya selama 11 tahun dalam sistem persekolahan di negara kita. Mengikut perkiraannya, kita hanya mempelajari Bahasa Inggeris bagi tempoh tiga hingga lima jam seminggu. Secara puratanya, jumlah itu hanya menyamai sebanyak 110 hari dalam tempoh 11 tahun. Tanpa latihan luar, tidak hairanlah Bahasa Inggeris menjadi begitu sukar untuk dikuasai. Pendedahan yang tidak sampai empat (4) bulan dalam tempoh 11 tahun sememangnya menyukarkan kita untuk menguasai Bahasa Inggeris jika tiada suntikan lain dibuat. Suntikan tersebut bolehlah dianggap sebagai faktor-faktor yang boleh meningkatkan penguasaan seperti pendedahan Bahasa Inggeris dikalangan ahli keluarga ataupun inisiatif keluarga untuk menghantar anak-anak bagi memperdalami Bahasa Inggeris dari pusat tuisyen atau pusat bahasa, ataupun bimbingan guru-guru Bahasa Inggeris dari luar.

Faktor biologikal juga turut berperanan dalam menyukarkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Kajian mendapati bahawa, mempelajari bahasa kedua menjadi agak rumit sekiranya ianya hanya bermula selepas si penutur mencapai umur 15 tahun. Bagaimanapun, faktor ini masih bersifat sementara dan bukannya kekal.

Saya percaya, dengan kaedah yang betul dan latihan yang berterusan, seseorang itu mampu menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa keduanya dengan berjaya. Bagaimanapun, seseorang yang ingin berjaya menguasai Bahasa Inggeris, perlulah mempunyai disiplin, motivasi diri dan iltizam yang kuat bagi memcapainya.



No comments:

Post a Comment